Profil 2011

22 Januari 2010

Peningkatan kadar faedah dan kenaikan harga


Kadar faedah di Asia naik berperingkat-peringkat


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Negara-negara Asia dijangka meningkatkan kadar faedah antara 50 hingga 75 mata asas secara berperingkat-peringkat tahun ini bertujuan untuk memberikan lebih banyak kesan yang neutral ke atas ekonomi negara masing-masing.

Langkah itu dijangka menaikkan kadar inflasi di Asia kecuali di Jepun, akan meningkat sekitar 3.4 peratus sebagai mencerminkan keseimbangan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Pelaburan Hwang DBS, Teng Chee Wai berkata, kadar inflasi itu merupakan sesuatu yang sihat seperti mana diperlihatkan dengan meningkatnya penggunaan serta keyakinan pengguna.

"Kami menjangkakan pemulihan eksport Asia akan berlaku pada separuh pertama tahun ini dengan kebangkitan pasaran dan negara-negara Asia, kecuali Jepun, untuk meneraju pemulihan ekonomi berdasarkan kepada pasaran yang disasarkan meningkat tahun ke tahun pada Januari ini," katanya selepas selepas taklimat tinjauan bon 2010 di sini hari ini.

Menurut Chee Wai, pihaknya yakin bahawa pemulihan ekonomi mampu dipercepatkan dengan sokongan padu oleh negara-negara yang terlibat selain daripada petunjuk seperti Indeks Penyerapan Ekonomi Global dan peningkatan yang ditunjukkan pada data Pertumbuhan Pengeluaran Industri Global.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan lebih banyak peluang di tawarkan oleh pasaran bon Asia, khususnya bon-bon korporat sebagaimana banyak syarikat di rantau ini telah menerbitkannya.

"Banyak syarikat menerbitkan bon-bon korporat di Asia yang memperlihatkan pertumbuhan amat kukuh selain bon-bon itu didagangkan pada harga lebih murah,'' katanya.

Malah bon boleh bertindak sebagai penstabil portfolio yang boleh membantu mengimbangi kitaran pasaran luar jangka yang boleh mengikis nilai dan menjejaskan pelaburan.

Antara negara-negara yang dilihat berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menerbitkan bon-bon ialah Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Hong Kong, Indonesia dan Australia.

(UM 22/2/10)

IHP dijangka meningkat

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Dengan berakhirnya deflasi enam bulan berturut-turut pada Disember lepas, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan secara beransur-ansur pada 2010, kata seorang penganalisis hari ini.

Ahli ekonomi Kenanga Research, Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie berkata, ia berlaku berikutan peningkatan harga domestik, dengan inflasi dijangka berkembang 2.1 peratus tahun ini.

"Ketika persiapan menghadapi Tahun Baru China, kami menjangkakan berlaku kenaikan harga domestik, terutama barangan makanan," katanya.

Harga gula telah dinaikkan sebanyak 20 sen
pada awal tahun 2010.
OSK Research yang bersetuju dengan unjuran itu, berkata, permintaan yang lebih tinggi dan pengurangan subsidi, akan menyebabkan harga jualan meningkat berikutan aktiviti ekonomi dan perayaan.

Teh tarik yang menjadi kegemaran
rakyat Malaysia juga naik.

"Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilo baru-baru ini dan penarikan balik subsidi ke atas roti putih, mungkin tidak ketara. Namun, kami yakin ia boleh menjadikan sebab peniaga menaikan harga makanan dan minuman," kata OSK dalam notanya hari ini.

Katanya, kesan pengurangan subsidi hanya akan dirasai lewat tahun ini.

Oleh itu, OSK menyemak semula unjuran IHP kepada 2.4 peratus tahun ini berbanding 2.0 peratus sebelumnya.

Kenaikan IHP Disember yang tinggi berbanding unjuran OSK, menandakan negara sudah merekodkan pertumbuhan positif.

IHP yang meningkat 1.1 peratus berdasarkan perbandingan tahunan, sebahagian besarnya hasil penguncupan yang perlahan dalam sektor pengangkutan sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun, berikutan harga minyak mentah susut pada Disember 2008, kata firma penyelidikan itu.

Pertumbuhan positif itu adalah selari dengan tempat lain, dengan pasaran besar seperti China, India, United Kingdom dan Amerika Syarikat, mengalami peningkatan yang sama dalam harga secara keseluruhan pada Disember.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Wan Suhaimie berkata, Bank Negara Malaysia dijangka menaikkannya, secara beransur-ansur mulai pertengahan 2010.

"Kemungkinan ia meningkat sebanyak 50 mata asas, kepada 2.50 peratus menjelang akhir tahun," katanya kepada Bernama.

Keadaan ini akan merangsang aliran masuk dana ke dalam negara, sekali gus menggalakkan permintaan terhadap Ringgit, yang dijangka mengukuh pada paras 3.27 menjelang akhir tahun.

OSK juga yakin bank pusat akan terus mengekalkan kadar asas kukuh pada 2.0 peratus pada separuh pertama 2010. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan