Profil 2011

26 Januari 2010

Eksport getah RM11.1 bilion pada 2010

PETALING JAYA 25 Jan. - Eksport produk berasaskan getah tempatan pada tahun ini dijangka mencecah RM11.1 bilion berikutan jangkaan rangsangan pemulihan di dalam sektor automotif dan peningkatan prestasi produk sarung tangan getah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), Datuk Teo Suat Cheng berkata, daripada jumlah itu, eksport sarung tangan getah dijangka menyumbang RM7.7 bilion.

''Kami percaya insentif baru yang ditambah baik, akan membantu pengeluar produk getah mencapai unjuran prestasi eksport,'' kata beliau sempena pelancaran Insentif MREPC 2010 di sini hari ini.

Insentif baru itu meliputi kepelbagaian sokongan kewangan bagi pameran perdagangan antarabangsa, pensijilan produk, akreditasi makmal, laporan penyelidikan pasaran, pembangunan laman web dan bahan-bahan promosi pengeluaran.

Pengilang-pengilang Sarung Tangan Piawaian Malaysia (SMG) juga bakal menikmati lebih banyk insentif di bawah Program Blitz SMG MREPC.

SMG adalah program sijil berkualiti dibangunkan oleh Malaysia untuk memastikan pengilang sarung tangan lateks memenuhi spesifikasi teknikal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suat Cheng berkata, eksport produk getah dijangka mencecah RM10.56 bilion pada 2009.

Prestasi stabil itu dirangsang oleh sektor sarung tangan dengan eksport sarung tangan perubatan naik sebanyak 25 peratus pada 2009.

Eksport produk itu mencecah RM7.1 bilion, mewakili 67 peratus jumlah nilai eksport pada tahun lalu.

''Kita berkeyakinan tinjauan bagi sektor ini lebih baik pada 2010 dan berharap insentif baru yang diperkenalkan MREPC akan membantu pengeluar-pengeluar produk getah mencapai unjuran prestasi eksport,'' tambah beliau.

Katanya, pada tahun ini, MREPC akan menumpukan misi pemasaran dan pameran perdagangan ke China, Rusia, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Republik Czech dan negara-negara berpotensi.

''Beberapa kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti peluang di pasaran-pasaran baru ini,'' tambah beliau.

Sepanjang tahun ini, MREPC menyasarkan untuk mengadakan 17 pameran antarabangsa, dengan tambahan lima lawatan pemasaran dan seminar.(Utusan online)

Sementara itu, produktiviti pengeluaran getah dijangka meningkat daripada 1,580 kg sehektar pada tahun lalu kepada 1,800 kg sehektar pada tahun ini berikutan harga yang melambung tinggi sekarang sehingga melebihi RM5 sekilogram.

Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda) Datuk Ali Nordin Wahiduddin berkata, jangkaan itu berdasarkan kenaikan tinggi harga yang bakal meningkatkan produktivitinya apabila ia mendorong penoreh kembali mengerjakan ladang getah masing-masing.

"Harga itu adalah sama dengan harga purata bagi bulan Ogos 2007," katanya selepas menutup Bengkel Pembangunan Risda Negeri Kelantan di Sweet Beach Resort, Tok bali di sini hari ini.

Bagi menambah pendapatan Ali berkata, mereka yang memiliki kebun getah digalakkan menanam semula dengan klon-klon baru yang bermutu sehingga mampu memperoleh pendapatan lebih RM2,000 hingga RM4,000 sebulan bagi kawasan seluas antara 2.0 hingga 3.0 hektar bagi tempoh torehan 14 hari.

Mengikut bancian, katanya terdapat lebih sejuta hektar kebun getah termasuk di Sabah dan Sarawak yang sudah berumur lebih 25 tahun dan pokok berkenaan sudah tidak mampu lagi memberi pulangan hasil yang lumayan dan sesetengah kawasan pula diabaikan.

— Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan