Profil 2011

24 Ogos 2010

Pertukaran Asing


Ringgit paras tertinggi

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Ringgit mencecah paras tinggi baharu untuk tempoh 13 tahun iaitu 3.1250 berbanding dolar AS hari ini dalam urus niaga aktif.

Unit tempatan itu melonjak 50 mata untuk ditutup pada 3.1310/1330 berbanding penutup Jumaat lepas iaitu 3.1360/1410. "Ringgit mencapai paras rendah seharian 3.1339 dan tertinggi 3.1250 hari ini.

"Prestasi trend menaik itu mencerminkan keyakinan Bank Negara untuk terus melonggarkan peraturan tukaran asingnya ke arah mengantarabangsakan ringgit," kata pakar ekonomi AmBank Group, Manokaran Mottain.

Bank pusat melonggarkan peraturan tukaran asingnya untuk meningkatkan pertukaran semasa, menjadikannya lebih murah untuk pengeksport dan pengimport untuk berurusniaga menggunakan unit tempatan sebagai mata wang invois ataupun mata wang penyelesaian.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.3087/3122 daripada 2.3122/3176 sebelumnya, lebih tinggi berbanding yen kepada 3.6667/6703 daripada 3.6721/6784 dan lebih tinggi berbanding Euro kepada 3.9779/9817 daripada 4.0031/0098 Jumaat lepas. Ia, bagaimanapun, lebih rendah berbanding pound Britain kepada 4.8768/8806 daripada 4.8674/8770 sebelumnya. - Bernama

15 Julai 2010

Kerajaan umumkan kenaikan harga lima barangan




Harga petrol Ron 97, petrol Ron 95, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Penyelarasan harga ini merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok. Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

  • Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
  • Diesel - RM1.75 seliter.
  • Gula - RM1.70 sekilogram
  • Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

  • Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
  • Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
  • Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini. Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman. Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.

01 Julai 2010

22 April 2010

Bab 2 Ting 5: Ekonomi Malaysia

Soalan Kajian Kes

Semasa kemelesetan ekonomi 1985, kadar rizab berkanun bank perdagangan dikurangkan daripada 5% kepada 4% mulai 1 April 1985 manakala kadar rizab tunai pula dikurangkan daripada 20% kepada 18.5% berkuatkuasa pada Februari 1986.

Selain daripada mekanisme tersebut, Bank Pusat juga telah menggunakan strategi kawalan ke atas kadar faedah dan syarat sewa beli bagi mengekang ‘kesan-kesan rantaian’ akibat kemelesetan yang semakin meningkat.

Berbeza pada tahun 2004 dimana Perangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi penanda aras inflasi di negara ini telah mencatatkan peningkatan 2.6% pada akhir Mac iaitu paras tertinggi sejak tahun 1999. Kenaikan dalam hamper semua komponen barangan itu disebabkan peningkatan harga minyak dan kos pengangkutan menyebabkan kesan yang cukup besar kepada semua barang keperluan dan harian yang lain. Gabenor Bank Pusat mengulangi dasar belanjawan untuk mengekalkan kadar faedah domestik pada tahap rendah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.


a) Jelaskan ‘ kesan-kesan rantaian’ akibat kemelesetan yang semakin meningkat.
(6 markah)

b) Bagaimanakah Bank Pusat dapat mempengaruhi aktiviti ekonomi semasa kemelesetan melalui kawalan ke atas kadar faedah dan syarat sewa beli?
(10 markah)

c) (i) Apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? (2 markah)

(ii)Jelaskan bagaimana belanjawan negara boleh mengatasi masalah peningkatan
harga yang berterusan? (7 markah)

Jawapan

Belanjawan Negara: Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan

Hasil n Belanja Kjaan 2010

03 Februari 2010

BSN mahu ungguli perbankan Islam


KOTA BHARU 1 Feb. - Setelah 36 tahun ditubuhkan, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengorak langkah baharu tahun ini, menjadi bank terunggul melaksanakan sistem perbankan Islam di negara ini.

Sejajar dengan penubuhannya pada 1 Disember 1974, BSN menyambut baik hasrat kerajaan, yang menjadi negara perintis institusi perbankan berlandaskan sistem Islam, dengan merangka pelbagai pelan membangunkan industri perbankan Islam itu.

Antara inisiatif terbaharu yang diambilnya ialah menubuhkan dua cawangan baharu sebagai perintis bank berteraskan sistem perbankan Islam, di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di sini dan di Jalan Kelantan, Kuala Nerus, Terengganu.

Majlis pembukaan cawangan baharu di Kelantan, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein pada 24 Januari lepas manakala pelancaran cawangan di Terengganu akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengurus Besar dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, pembukaan cawangan di Kelantan merupakan satu lagi usaha pihaknya menyumbang terhadap pembangunan perbankan Islam, di samping menyediakan akses dan saluran pembiayaan serta kemudahan perbankan berlandaskan syariah kepada pelanggan dan orang ramai.

"BSN telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan pusat untuk menawarkan kemudahan perbankan Islam. Ini juga merupakan inisiatif BSN untuk menjadi salah satu peserta dalam persekitaran perbankan Islam yang lebih bersepadu dan sentiasa berdaya saing dengan lain-lain institusi kewangan tempatan," katanya.

Menurutnya selain di Pengkalan Chepa, BSN juga telah memulakan operasi perbankan Islam di Kuala Nerus, bermula 1 Disember lepas.

Beliau berkata, BSN memulakan operasi perbankan Islam bermula pada 1994, menerusi dua produk iaitu Simpanan Wadiah dan Al-Mudaharabah.

Katanya, sejajar dengan perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia, kemudahan yang ditawarkan oleh BSN juga telah meningkat secara positif.

Sehingga kini BSN telah menawarkan pelbagai produk yang mematuhi syariah, daripada deposit mudah dan tawaran pembiayaan sehinggalah penyelesaian pelaburan perbankan yang kompleks.

Adinan berkata, antaranya pinjaman perumahan, Bai' Bithamal Ajil (BBA), iaitu kontrak yang merujuk kepada transaksi pembelian dan penjualan aset melalui pembiayaan ke atas aset yang terlibat dan pembiayaan itu bercirikan bayaran tertangguh atau ansuran dengan tempoh pembayaran yang telah dipersetujui. Harga jualan termasuk margin keuntungan.

Beliau berkata, BSN juga menawarkan perkhidmatan eksklusif Kad Kredit-i Visa dan Mastercard Al-Aiman yang berlandaskan Syariah, Bai Al-Inah, iaitu kontrak yang menggunakan konsep penjual akan menjual sesuatu aset secara tunai dan kemudian membeli semula aset tersebut secara bayaran tertangguh dengan harga belian aset tersebut lebih tinggi daripada harga jualan.

Katanya skim Mudharabah juga telah diperkembangkan lagi dengan BSN memperkenal BSN Ahsan iaitu Akaun Simpanan pelaburan (Simpanan Tetap) yang berlandaskan prinsip Syariah.

"Mudharabah, kontrak yang merujuk kepada penglibatan dua pihak dalam mewujudkan sesuatu perniagaan. Pelaburan Ahsan itu dalam bentuk sijil dan deposit boleh dibuat dengan cek atau wang tunai.

"Selaras dengan peranannya untuk memperkasa produk perbankan Islamnya, kita merancang membuka kira-kira 20 cawangan berteraskan sistem perbankan Islam di seluruh negara di lokasi yang terpilih secara berperingkat-peringkat," katanya.

Menurut Adinan, sebagai salah satu usaha memperluas visinya, BSN turut melancarkan pengiklanan perbankan Islamnya ke atas 10 bas yang menawarkan perkhidmatan laluan menyeluruh di semua jajahan di Kelantan, seperti Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok, Pengkalan Kubur dan Kemumin.

Mengimbau sejarah penubuhannya, Adinan berkata, sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan 36 tahun lepas, semua tugas dan tanggungjawab BSN mengikut Akta Bank Simpanan Pejabat Pos telah diambil alih oleh BSN.

"Misi BSN ialah untuk menggalakkan simpanan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang berhemat di kalangan rakyat Malaysia bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

"Ia sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka," katanya.

Semasa pelancarannya 5 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional Malaysia mempunyai lebih 2.5 juta penyimpan. Jumlah terkumpul dalam bank itu melebihi RM537 juta, katanya.

Adinan berkata, daripada jumlah itu, lebih daripada RM526 juta telah dilaburkan dalam sekuriti kerajaan. Jumlah dalam kredit penyimpan pula melebihi RM511 juta.

Pada akhir 1981, bank ini mempunyai 4.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul melebihi RM1.2 bilion.

Selepas pelancarannya 5 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional mempunyai lebih 2.5 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul melebihi RM537 juta, katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lebih daripada RM526 juta dilaburkan dalam sekuriti kerajaan manakala jumlah dalam kredit penyimpan melebihi RM511 juta.

"Kini, BSN mempunyai hampir 400 rangkaian cawangan yang beroperasi di seluruh negara, dan selaras peranannya sebagai bank komuniti, BSN akan terus komited untuk menyediakan prasarana dan akses perkhidmatan perbankan kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia," kata Adinan. - BERNAMA