Profil 2011

14 Februari 2011

Pertukaran Asing: Sukar capai RM2.50 berbanding dolar AS

2011/02/07

PENINGKATAN nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) beransur-ansur dijangka berterusan tahun ini tetapi untuk menyaksikan mata wang tempatan itu kembali ke paras sebelum krisis kewangan Asia, iaitu pada kira-kira RM2.50 dalam jangka terdekat adalah tipis. “Kita ada sasaran akhir tahun RM3 berbanding dolar AS tetapi ia mungkin berlegar sekitar RM3.15 pada suku kedua berikutan kelemahan keseluruhan mata wang Asia,” kata Ketua Pertukaran Mata Wang Asia dan Strategi Pendapatan Tetap Merril Lynch Bank of America, Claudio Piron.

Beliau mengingatkan risiko kemungkiran pembayaran bon kerajaan di Eropah dan pemberhentian pusingan kedua pelonggaran dasar kewangan oleh AS boleh menjadi penghalang kepada kenaikan ini.
Ketika diwawancara BERNAMA, beliau berkata, memang bukan rahsia lagi pasaran sedang berkembang di Asia begitu popular di kalangan pelabur antarabangsa sejak tahun lalu dan rantau ini menerima banyak pengaliran masuk dana. “Wujud risiko berlakunya sedikit pengaliran keluar dalam suku kedua. “Justeru, ringgit dijangka susut sedikit pada suku kedua sebelum mengukuh ke paras RM3 menjelang akhir tahun,” katanya sambil menambah mata wang tempatan itu kini diberikan nilai 2.2 peratus lebih tinggi.

Sejak permulaan tahun ini, ringgit meningkat kira-kira 1.28 peratus, manakala won Korea 1.9 peratus dan dolar Taiwan 4.04 peratus. Tahun lalu, ringgit melonjak 12 peratus berbanding dolar AS. Piron berkata, ringgit tiada kemungkinan mencapai paras sebelum krisis kewangan Asia 1997/98 dalam masa terdekat, tetapi ia boleh dalam masa tiga hingga lima tahun. Bagi mata wang itu mengukuh begitu banyak sehingga 18 bulan akan datang perlu ada krisis fundamental di pasaran maju dan kemungkiran pembayaran bon kerajaan di Eropah, tetapi kemungkinan itu amat tipis kerana hutang di AS masih berada pada tahap terkawal. "Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kita telah melihat begitu banyak rancangan dibuat. Kita ada segala strategi yang boleh difikirkan," katanya menjawab soalan sama ada pasaran boleh mengalami semula kelembapan kewangan pada 2008. Mengenai inflasi, beliau berkata seperti biasa, bank pusat Asia berada di belakang. Bagaimanapun, katanya ini tidak bererti tidak baik, kerana situasi itu sebahagiannya disebabkan oleh inflasi eksogen dan tidak semestinya disebabkan oleh permintaan di Asia.

Dalam kalangan semua bank pusat, Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bank pusat yang paling proaktif di rantau ini. "Saya rasa Bank Negara unik sebab ia menggunakan pertukaran asing dan kadar faedah untuk mengembalikan dasar kepada keadaan biasa. Kami menjangkakan Bank Negara menaikkan kadar sebanyak 0.5 peratus lagi tahun ini," katanya. Minggu lalu, Bank Negara mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus disebabkan oleh tahap inflasi yang rendah dan kekurangan bukti tentang lebihan permintaan memberi tekanan kepada harga. Bagaimanapun, bank pusat itu membayangkan penggunaan alat dasar tambahan seperti keperluan rizab berkanun dan langkah pemberian pinjaman makroprudential, untuk mengelak risiko ketidakseimbangan makroekonomi dan kewangan.

Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali dalam tempoh di antara Mac dengan Julai 2010 bagi membendung tekanan harga. (Berita Harian)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan