Profil 2011

03 Februari 2010

BSN mahu ungguli perbankan Islam


KOTA BHARU 1 Feb. - Setelah 36 tahun ditubuhkan, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengorak langkah baharu tahun ini, menjadi bank terunggul melaksanakan sistem perbankan Islam di negara ini.

Sejajar dengan penubuhannya pada 1 Disember 1974, BSN menyambut baik hasrat kerajaan, yang menjadi negara perintis institusi perbankan berlandaskan sistem Islam, dengan merangka pelbagai pelan membangunkan industri perbankan Islam itu.

Antara inisiatif terbaharu yang diambilnya ialah menubuhkan dua cawangan baharu sebagai perintis bank berteraskan sistem perbankan Islam, di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di sini dan di Jalan Kelantan, Kuala Nerus, Terengganu.

Majlis pembukaan cawangan baharu di Kelantan, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein pada 24 Januari lepas manakala pelancaran cawangan di Terengganu akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengurus Besar dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, pembukaan cawangan di Kelantan merupakan satu lagi usaha pihaknya menyumbang terhadap pembangunan perbankan Islam, di samping menyediakan akses dan saluran pembiayaan serta kemudahan perbankan berlandaskan syariah kepada pelanggan dan orang ramai.

"BSN telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan pusat untuk menawarkan kemudahan perbankan Islam. Ini juga merupakan inisiatif BSN untuk menjadi salah satu peserta dalam persekitaran perbankan Islam yang lebih bersepadu dan sentiasa berdaya saing dengan lain-lain institusi kewangan tempatan," katanya.

Menurutnya selain di Pengkalan Chepa, BSN juga telah memulakan operasi perbankan Islam di Kuala Nerus, bermula 1 Disember lepas.

Beliau berkata, BSN memulakan operasi perbankan Islam bermula pada 1994, menerusi dua produk iaitu Simpanan Wadiah dan Al-Mudaharabah.

Katanya, sejajar dengan perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia, kemudahan yang ditawarkan oleh BSN juga telah meningkat secara positif.

Sehingga kini BSN telah menawarkan pelbagai produk yang mematuhi syariah, daripada deposit mudah dan tawaran pembiayaan sehinggalah penyelesaian pelaburan perbankan yang kompleks.

Adinan berkata, antaranya pinjaman perumahan, Bai' Bithamal Ajil (BBA), iaitu kontrak yang merujuk kepada transaksi pembelian dan penjualan aset melalui pembiayaan ke atas aset yang terlibat dan pembiayaan itu bercirikan bayaran tertangguh atau ansuran dengan tempoh pembayaran yang telah dipersetujui. Harga jualan termasuk margin keuntungan.

Beliau berkata, BSN juga menawarkan perkhidmatan eksklusif Kad Kredit-i Visa dan Mastercard Al-Aiman yang berlandaskan Syariah, Bai Al-Inah, iaitu kontrak yang menggunakan konsep penjual akan menjual sesuatu aset secara tunai dan kemudian membeli semula aset tersebut secara bayaran tertangguh dengan harga belian aset tersebut lebih tinggi daripada harga jualan.

Katanya skim Mudharabah juga telah diperkembangkan lagi dengan BSN memperkenal BSN Ahsan iaitu Akaun Simpanan pelaburan (Simpanan Tetap) yang berlandaskan prinsip Syariah.

"Mudharabah, kontrak yang merujuk kepada penglibatan dua pihak dalam mewujudkan sesuatu perniagaan. Pelaburan Ahsan itu dalam bentuk sijil dan deposit boleh dibuat dengan cek atau wang tunai.

"Selaras dengan peranannya untuk memperkasa produk perbankan Islamnya, kita merancang membuka kira-kira 20 cawangan berteraskan sistem perbankan Islam di seluruh negara di lokasi yang terpilih secara berperingkat-peringkat," katanya.

Menurut Adinan, sebagai salah satu usaha memperluas visinya, BSN turut melancarkan pengiklanan perbankan Islamnya ke atas 10 bas yang menawarkan perkhidmatan laluan menyeluruh di semua jajahan di Kelantan, seperti Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok, Pengkalan Kubur dan Kemumin.

Mengimbau sejarah penubuhannya, Adinan berkata, sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan 36 tahun lepas, semua tugas dan tanggungjawab BSN mengikut Akta Bank Simpanan Pejabat Pos telah diambil alih oleh BSN.

"Misi BSN ialah untuk menggalakkan simpanan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang berhemat di kalangan rakyat Malaysia bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

"Ia sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka," katanya.

Semasa pelancarannya 5 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional Malaysia mempunyai lebih 2.5 juta penyimpan. Jumlah terkumpul dalam bank itu melebihi RM537 juta, katanya.

Adinan berkata, daripada jumlah itu, lebih daripada RM526 juta telah dilaburkan dalam sekuriti kerajaan. Jumlah dalam kredit penyimpan pula melebihi RM511 juta.

Pada akhir 1981, bank ini mempunyai 4.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul melebihi RM1.2 bilion.

Selepas pelancarannya 5 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional mempunyai lebih 2.5 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul melebihi RM537 juta, katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lebih daripada RM526 juta dilaburkan dalam sekuriti kerajaan manakala jumlah dalam kredit penyimpan melebihi RM511 juta.

"Kini, BSN mempunyai hampir 400 rangkaian cawangan yang beroperasi di seluruh negara, dan selaras peranannya sebagai bank komuniti, BSN akan terus komited untuk menyediakan prasarana dan akses perkhidmatan perbankan kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia," kata Adinan. - BERNAMA